Terma & Syarat
Garis panduan umum kejohanan VFYDC
Terma dan syarat ini adalah garis panduan umum kejohanan yang terpakai kepada semua kategori pertandingan di bawah Jawatan Kuasa Pertandingan (JKP) Victorian Youth Football Development (VFYDC). Setiap kategori umur mungkin mempunyai peraturan tambahan yang khusus mengikut format kejohanan masing-masing.
Liabiliti & Keselamatan
Semua pemain dan pegawai pasukan menyertai kejohanan ini atas risiko sendiri.
Pihak JKP hanya menyediakan rawatan awal (first aid) di venue. Sebarang rawatan lanjut serta kos berkaitan adalah tanggungan pasukan atau individu masing-masing.
Pihak JKP tidak bertanggungjawab ke atas sebarang kecederaan, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda atau sebarang tuntutan sepanjang kejohanan berlangsung.
Syarat & Peraturan Umum
1.0 Keputusan Perlawanan
Keputusan perlawanan serta undang-undang permainan adalah di bawah bidang kuasa pengadil yang dilantik. JKP tidak akan campur tangan terhadap sebarang keputusan pengadil.
2.0 Bantahan
Sebarang bantahan yang bukan berkaitan keputusan pengadil hendaklah dibuat secara bertulis dalam tempoh 24 jam selepas perlawanan, disertakan bukti serta tandatangan pengurus pasukan. Bayaran sebanyak RM300 dikenakan bagi setiap bantahan.
3.0 Penggantungan Pemain & Pegawai
- 3.1 Pemain yang menerima satu (1) kad merah akan digantung daripada dua (2) perlawanan berikutnya.
- 3.2 Pemain yang menerima dua (2) kad kuning diikuti satu (1) kad merah dalam perlawanan yang sama akan digantung daripada satu (1) perlawanan berikutnya.
- 3.3 Pemain yang mengumpul tiga (3) kad kuning sepanjang kejohanan akan digantung daripada satu (1) perlawanan berikutnya.
- 3.4 Pegawai pasukan yang menerima kad merah akan digantung daripada satu (1) perlawanan berikutnya dan kes akan dirujuk kepada JKP untuk tindakan selanjutnya.
- 3.5 Rekod kad kuning dan kad merah tidak akan dibawa ke peringkat kalah mati.
4.0 Deklarasi Jersi
- 4.1 Setiap pasukan hendaklah menyediakan dua (2) set jersi. Sekiranya berlaku persamaan warna, pasukan pelawat (Away) hendaklah menukar jersi. Jika masih berlaku persamaan, bib (BIB) akan disediakan oleh JKP.
- 4.2 Semua pemain hendaklah memakai jersi bernombor seperti yang didaftarkan dalam senarai rasmi pasukan.
- 4.3 Sebarang pertukaran nombor jersi hendaklah dimaklumkan kepada JKP sebelum sesuatu perlawanan bermula.
5.0 Peraturan Am
- 5.1 Semua pemain hendaklah berpakaian lengkap mengikut Peraturan FAM termasuk memakai stoking panjang.
- 5.2 Kuku pemain hendaklah sentiasa dipotong pendek.
- 5.3 Shin pad adalah WAJIB dipakai sepanjang perlawanan.
- 5.4 Ketua pasukan hendaklah memakai lilitan lengan (captain armband).
- 5.5 Jika sesuatu perkara tidak diperuntukkan dalam syarat ini, Peraturan AM Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan diguna pakai.
6.0 Format Pertandingan
6.1 Sistem pertandingan dijalankan mengikut Peraturan Am Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
6.2 Format pertandingan mengikut kategori umur adalah seperti berikut:
Kategori Bawah 8 Tahun
5v5 | Tiada Offside
Kategori Bawah 10 Tahun
7v7 | Tiada Offside
Kategori Bawah 12 Tahun
9v9 | Ada Offside
Kategori 14 Tahun +
11v11 | Ada Offside
6.3 Pertandingan dijalankan melibatkan peringkat liga satu (1) pusingan dan peringkat kalah mati.
6.4 Peringkat Liga
- Menang = 3 mata
- Seri = 1 mata
- Kalah = 0 mata
- Jika dua (2) atau lebih pasukan mempunyai jumlah mata yang sama, kedudukan ditentukan melalui Perbezaan Jaringan (GD).
- Sekiranya masih seri, penentuan dibuat melalui sepakan penalti.
6.5 Peringkat Kalah Mati
- Tiada masa tambahan diberikan.
- Jika keputusan seri, tiga (3) sepakan penalti dijalankan.
- Jika masih seri, format Sudden Death digunakan sehingga pemenang ditentukan.
7.0 Sepakan Dari Tanda Penalti
Semua sepakan dari tanda penalti hendaklah dilaksanakan mengikut Undang-undang Permainan FIFA yang sedang berkuat kuasa.
8.0 Masa Perlawanan
Tempoh masa permainan bagi setiap kategori umur akan ditetapkan oleh JKP dan dimaklumkan sebelum kejohanan bermula.
9.0 Pemain Gantian
Pertukaran pemain adalah tanpa had sepanjang perlawanan menggunakan sistem Rolling Substitution. Tertakluk kepada sebarang perubahan yang ditetapkan oleh JKP.
10.0 Jadual Perlawanan
Jadual perlawanan disediakan oleh JKP. JKP berhak buat pindaan terhadap jadual perlawanan pada bila-bila masa bagi memastikan kelancaran kejohanan atau atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan demi kepentingan pertandingan.
11.0 Pengadilan
Semua perlawanan akan dikendalikan oleh pengadil yang bertauliah atau dilantik oleh JKP.
12.0 Kemenangan Percuma (Walkover)
Kemenangan percuma tiga (3) mata dengan keputusan 3 – 0 akan diberikan kepada pasukan lawan sekiranya berlaku mana-mana keadaan berikut:
12.1 Menyenaraikan pemain yang tidak didaftarkan.
12.2 Pemain yang didaftarkan tidak memenuhi syarat pertandingan.
12.3 Gagal berada di padang selepas lima (5) minit daripada masa perlawanan sepatutnya bermula.
12.4 Gagal menyediakan jumlah minimum pemain.
Kategori Bawah 8 Tahun
Minimum 3 pemain
Kategori Bawah 10 Tahun
Minimum 5 pemain
Kategori Bawah 12 Tahun
Minimum 7 pemain
Kategori 14 Tahun +
Minimum 9 pemain
12.5 Perlawanan dihentikan kerana sesuatu pasukan gagal mengekalkan jumlah minimum pemain akibat kesalahan tatatertib.
12.6 Tidak mahu meneruskan perlawanan.
12.7 Pasukan tidak dibenarkan sengaja tidak meneruskan atau mengatur keadaan yang menyebabkan kemenangan percuma diberikan kepada pihak lawan. Jika berlaku, pasukan tersebut akan disingkirkan daripada kejohanan dan semua keputusan perlawanan terdahulu akan dibatalkan.
13.0 Perlawanan Yang Dihentikan
- 13.1 Sekiranya pengadil menghentikan perlawanan (abandoned game) disebabkan sikap penonton, pegawai atau pemain yang boleh mengancam keselamatan perlawanan, pengadil hendaklah mengemukakan laporan rasmi kepada JKP. JKP berhak membuat keputusan yang difikirkan sesuai dan keputusan tersebut adalah muktamad. Kemenangan dengan keputusan 3–0 akan diberikan kepada pasukan lawan.
- 13.2 Perlawanan yang ditangguhkan (suspended game) akan disambung semula mengikut baki masa permainan dan tertakluk kepada keputusan JKP.
-
13.3 Sekiranya perlawanan ditangguhkan (suspended game) atau kelewatan sepak mula (delay game) akibat cuaca, keadaan padang, keselamatan atau faktor lain yang tidak mengizinkan, keputusan pertandingan adalah tertakluk kepada JKP.
Ketetapan
(a) Perlawanan Telah Bermula
- Jika perlawanan tidak dapat diteruskan dan jumlah masa permainan yang telah dimainkan mencapai sekurang-kurangnya 75% daripada tempoh permainan yang dijadualkan, keputusan semasa perlawanan boleh disahkan sebagai keputusan rasmi oleh JKP.
- Jika jumlah masa permainan yang telah dimainkan kurang daripada 75%, JKP berhak menjadualkan semula perlawanan atau membuat keputusan lain yang difikirkan sesuai.
(b) Perlawanan Belum Bermula (Delay)
- Sekiranya permulaan perlawanan ditangguhkan dan baki masa permainan yang masih boleh dimainkan adalah sekurang-kurangnya 75% daripada tempoh asal, perlawanan boleh diteruskan mengikut baki masa tersebut.
- Jika baki masa permainan yang tinggal kurang daripada 75%, JKP berhak menangguhkan, menjadualkan semula atau membuat keputusan lain yang difikirkan sesuai.
Contoh
- 30 minit × 2 separuh masa (60 minit)
Perlawanan ditangguhkan sebelum sepak mula selama 15 minit. Baki masa ialah 45 minit (75%). Perlawanan boleh diteruskan dengan masa permainan baharu 22 minit × 2 separuh masa. - Jika kelewatan mencapai 20 minit, baki masa hanya tinggal 40 minit (kurang daripada 75%). Perlawanan hendaklah ditangguhkan, dijadualkan semula atau diputuskan oleh JKP.
- Jika perlawanan telah berlangsung selama 48 minit daripada jumlah 60 minit sebelum dihentikan dan tidak dapat disambung semula, keputusan semasa boleh disahkan kerana lebih daripada 75% masa permainan telah dimainkan.
- Jika perlawanan hanya berlangsung selama 35 minit sebelum dihentikan dan tidak dapat diteruskan, JKP berhak menjadualkan semula perlawanan atau membuat keputusan lain kerana tempoh permainan belum mencapai 75%.
Nota: Ketetapan 75% ini terpakai kepada semua kategori umur tanpa mengira tempoh permainan yang ditetapkan oleh JKP (contohnya 25×2, 30×2 atau 35×2 minit).Terminologi
Delay Match : Perlawanan yang belum bermula dan sepak mula ditangguhkan.
Suspended Match : Perlawanan yang telah bermula tetapi dihentikan sementara dan boleh disambung semula sekiranya keadaan mengizinkan.
Abandoned Match : Perlawanan yang telah bermula tetapi tidak dapat diteruskan sehingga tamat dan keputusan selanjutnya adalah tertakluk kepada JKP.
14.0 Tarikh Diri / Meninggalkan Padang
Pasukan yang menarik diri daripada kejohanan atau meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan akan dikenakan denda RM1,000 (SERIBU RINGGIT MALAYSIA), dan semua keputusan perlawanan pasukan tersebut akan dibatalkan.
15.0 Etika Pegawai
- 15.1 Pengurus pasukan hendaklah memastikan semua pegawai, pemain dan penyokong sentiasa mematuhi etika, disiplin dan semangat kesukanan sepanjang pertandingan berlangsung.
- 15.2 Pegawai bertugas berhak mengemukakan laporan bertulis kepada pihak yang berkaitan sekiranya terdapat pegawai atau pasukan yang melanggar peraturan pertandingan atau bertindak bertentangan dengan objektif kejohanan.
-
15.3 Sebarang penipuan berkaitan pendaftaran pemain atau menurunkan pemain yang tidak berdaftar semasa perlawanan, sama ada disengajakan atau tidak, adalah dianggap sebagai kesalahan berat dan bertentangan dengan etika permainan bola sepak. JKP berhak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasukan, pemain atau pegawai yang terlibat.
Tindakan Tatatertib
- • Pasukan yang melakukan kesalahan akan diberikan kemenangan percuma 3–0 kepada pasukan lawan.
- • Semua keputusan perlawanan terdahulu yang melibatkan pemain tidak sah tersebut boleh dibatalkan oleh JKP.
- • Pemain dan pegawai yang terlibat boleh dikenakan tindakan penggantungan atau tindakan tatatertib selanjutnya oleh JKP.
- • Pasukan boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 bergantung kepada tahap kesalahan dan keputusan JKP.
- 15.4 Sebarang tindakan membantah keputusan pengadil dengan meninggalkan padang semasa perlawanan merupakan kesalahan berat dan bertentangan dengan etika permainan bola sepak.
- 15.5 Pegawai pasukan yang dikenakan tindakan tatatertib oleh pegawai perlawanan akan digantung satu (1) perlawanan. Jawatankuasa Pertandingan berhak mempertimbangkan laporan pengadil untuk menentukan tindakan lanjut yang bersesuaian.
- 15.6 Semua pegawai pasukan hendaklah berpakaian kemas dan sopan. Pegawai tidak dibenarkan memakai seluar pendek, jeans, baju tanpa lengan atau selipar semasa bertugas di kawasan pertandingan.
16.0 Hal-hal Tidak Diperuntukkan
Segala perkara yang tidak dinyatakan dalam peraturan ini akan diputuskan oleh JKP. Keputusan adalah muktamad.